Bulan Kegemilangan

Oleh: Nur Izyani Dzulkipli (4SET)
(Timbalan Presiden II Kelab Iqra’ 2010)

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Hati merasa rindu dengan kehadiran kekasih yang lama menghilangkan diri dan tiada kegembiraan yang lebih dari itu. Ia adalah kekasih yang ternanti-nanti kedatangannya dan sedang dalam perjalanan datang menemui.

Begitulah gambaran kekasih Allah dan para sahabat serta ulama’ apabila bertemunya bulan Ramadhan. AlhamduLillah, Allah telah pertemukan kepada kita bulan Ramadhan pada kali ini, bulan mulia yang penuh barakah dan penuh keistimewaan di dalamnya, tetapi sejauh mana kita menghargai dan menghayati kelebihan yang Allah berikan pada umat Nabi Muhammad ini? Adakah kita benar-benar bersedia dan melaksanakan sebaik-baik dan sehabis-habis ganjaran yang telah diberikan olehNya?

Suatu perkongsian ceramah semarak Ramadhan di Masjid Sultan Ismail pada Isnin yang lepas oleh Ustaz Ismail bin Haji Musytari. Ketika tiba bulan Ramadhan, para ulama’ takut kepada dua perkara, iaitu takut tidak akan bertemu dengan Ramadhan kali ini, dan takut pengisian yang akan diisi pada bulan Ramadhan dengan perkara yang tidak ada faedahnya.

Dalam menjalani ibadat puasa Ramadan, marilah kita merenung peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan mulia ini. Ramadan dianugerahkan Allah dengan pelbagai keberkatan dan ganjaran Selain berlakunya penurunan ayat al-Quran yang pertama, mukjizat terbesar iaitu Nabi Muhammad s.a.w turut menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku kepada diri dan keluarga Baginda serta masyarakat Islam untuk dijadikan iktibar.

Peristiwa itu membawa pengertian besar kepada umat Islam, terutama membabitkan peperangan yang membuktikan betapa teguhnya keimanan umat Islam terdahulu dalam menegakkan agama suci ini. Ia membawa pengajaran besar bahawa dalam melaksanakan ibadat puasa, umat Islam perlu tabah mengharungi apa saja cabaran. Puasa bukan bulan untuk berehat-rehat, bersenang-senang atau lalai melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam. Umat Islam diingatkan sentiasa berwaspada menghadapi ancaman musuh.

Tanggal 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, untuk kali pertama, berlaku peperangan yang tidak boleh dilupakan oleh umat Islam, iaitu Badar al-Kubra, perang di antara kaum Muslimin dengan Musyrikin. Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah bersama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadan dan pada 17 Ramadan berlaku peperangan Badar al-Kubra.

Perang itu menjadi titik awal kebangkitan kaum Muslimin ke atas musyrikin.Peperangan yang hanya melibatkan 313 kaum muslimin berhadapan dengan 1000 tentera ditambah pula dengan kewajipan sebagai seorang muslim menjalani ibadah puasa dengan keadaan padang pasir yang panas terik tidak mematahkan semangat kaum Muslimin, kerana cinta mereka kepada Allah SWT melebihi segala-galanya.

Selain itu, kegemilangan besar umat Islam juga berlaku pada bulan Ramadan tahun 584 hijrah iaitu peperangan Hittin. Mujahidin diketuai oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian). Kemenangan ini menyebabkan pihak tentera salib tidak lagi berani untuk cuba menyerang negara Islam. Peperangan ini berjaya melumpuhkan kekuatan tentera salib iaitu hampir 30 ribu orang berjaya dibunuh, ribuan lagi ditawan dan hampir 3 ribu orang berjaya diislamkan.

Ketika tiba Ramadan, penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab: "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”. Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Kekalahan tentera Salib ini memberi tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib.

Beginilah kemampuan mujahidin yang berpuasa di sepanjang susur alur sejarah Islam itu sendiri, demi meninggikan panji-panji jihad dan kalimah Allah di muka bumi ini. Banyak lagi peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadhan yang boleh kita jadikan ikhtibar dan pembakar semangat. Inilah bukti kekuatan dan kemenangan bagi Muslim yang beriman.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Telah bersabda Rasul SAW yang bermak:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadhan maka adalah hak Allah untuk memasukkannya ke dalam syurga, berjihad di jalan Allah dan bermukim di tanah kelahirannya, maka mereka bertanya: Ya Rasulullah!Apakah kami boleh menceritakan berita gembira ini kepada orang lain?

Lantas Baginda SAW menyambung lagi:

Sesungguhnya di syurga itu 100 darjat ditinggikan kepada mujahidin fisabiliLlah, antara dua darjat itu adalah bagaikan langit dan bumi, maka apabila Allah bertanyakan kamu, mintalah kepadaNYA Syurga Firdaus kerana ia adalah syurga yang pertengahan dan syurga yang tertinggi sekali, aku melihat di atasnya Arasy Allah Ar-Rahman dan darinya terpancar mata air anak sungai di syurga".

[HR Bukhari]

Sahabat mahasiswa yang dikasihi,

Akhir kalam, sama-samalah kita jadikan bulan Ramadhan ini, bukan sahaja sebagai bulan ibadah tetapi ia sebagai bulan tarbiyah buat diri kita. Peperangan besar bermula dari dalam diri kita dan kitalah pemimpinnya. InsyaAllah, bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

Yahya bin Abi Kathir berkata, “Antara doa orang-orang salih ialah: Ya Allah, jumpakan aku dengan Ramadhan dan serahkan Ramadhan kepada aku, terimalah amalan yang aku lakukan kepadanya”.

WaLlahua’lam.

Advertisement

0 comments:

Post a Comment