Dipimpin Atau Memimpin




Oleh: Tasneem Binti Nasharudin (3SSM)
Timbalan Bendahari Kelab Iqra’ UTM 2010

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Pada hari ini kita masih lagi dikekalkan dengan dua nikmat terbesar yang jarang dirasai oleh semua makhluknya iaitu nikmat Iman dan Islam. Setinggi-tinggi kesyukuran juga dirafa’kan ke hadrat Ilahi kerana telah memilih kita untuk lahir ke atas muka bumi ini sebagai hamba-Nya yang diangkat darjat kemuliaannya berbanding makhluk ciptaan-Nya yang lain.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya,” [95:4]

Benar, manusia dicipta dengan kelebihan akal fikiran jika dibandingkan dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain. Namun, untuk apakah Allah menurunkan kita ke atas muka bumi ini? Allah tidak akan menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Pernahkah persoalan sebegini bermain di kotak fikiran kita? Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah, salah satu tujuan utama kita diciptakan di atas muka bumi ini adalah sebagai khalifah.

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." [2:30]

Saudara/ri pembaca yang dirahmati sekalian,

Apakah pula tugas sebenar seorang khalifah? Adakah tugas sebagai khalifah ini hanya terbeban kepada pucuk pimpinan tertinggi sahaja seperti pemimpin negara ataupun pemimpin dunia? Sudah pasti tidak! Ia tertaklif ke atas setiap insan yang lahir ke atas muka bumi. Saya pasti kita semua sudah maklum bahawa tugas khalifah adalah untuk mentadbir alam dan menjamin kemakmuran dia atas muka bumi.

Bukalah mata hati. Lihatlah alam sekeliling yang sedang berbicara. Sekiranya kita dapat memahami rintihan alam, saya pasti tidak ramai yang sanggup mendengarnya. Bumi sedang sakit tenat. Bumi berada dalam keparahan yang amat kritikal. Allah membei ilham untuk bumi meluahkan rasa, menyampaikan pesanan kepada para pentadbir alam sekalian. Tidak cukupkah dengan amaran tsunami, gempa bumi dan seribu satu macam lagi bencana alam sebagai peringatan buat khalifah-khalifah sekalian?

Bumi menjadi tenat dek kerana tangan-tangan manusia yang rakus serta hati-hati manusia yang kotor yang sedang kita sanjung sebagai pemimpin sekarang ini. Adakah kriteria tersebut memenuhi ciri-ciri pentadbir alam? Lihatlah keperibadian pemimpin unggul sepanjang zaman. Di dalam peperangan, Rasulullah melarang tentera muslimin mencabut anak pokok apatah lagi menggondol bukit yang besar seperti yang kita lakukan sekarang ini semata-mata untuk pembangunan.. Maka siapakah yang selayaknya menjadi pemimpin setelah rasul junjungan mulia ini? Adakah kepimpinan itu akan lahir secara magisnya? Ingat! Islam adalah agama yang logik dan bukan agama magik.

Sebagai seorang yang mengaku dirinya Islam, kita perlu berani mencorakkan kepimpinan dalam diri kita. Tidak perlu terus berlumba-lumba untuk menjadi perdana menteri andai diri sendiri masih belum terpimpin. Ya! Mulakan dengan langkah kecil. Belajarlah untuk memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Kemudian, cabarlah diri untuk memimpin organisasi-organisasi yang lebih besar. Adakah kita ingin terus-terusan diri dipimpin oleh kepimpinan yang pincang atau kita yang berdiri di hadapan dan mencorak kepimpinan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah?

Saudara/ri pembaca yang dirahmati Allah sekalian,

Kita punya suri teladan yang sangat dekat. Kita amat mengenali keperibadian beliau walaupun tidak pernah bersua muka. Bahkan kita sangat mengenali beliau lebih dari kita mengenali atuk kita sendiri. Ya, tidak syak lagi. Baginda Rasulullah s.a.w lah contoh kepimpinan terbaik. Kepimpinan baginda tidak hanya dilihat dari sudut individual, malah sebagai pemimpin keluarga, pemimpin dalam kalangan sahabat dan masyarakat hinggalah pemimpin negara (Madinah).

Pemimpin yang baik melahirkan anak didik yang baik. Lihat sahaja bagaimana hebatnya kepimpinan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina 'Uthman bin 'Affan, Saidina Umar Al-Khattab serta Saidina Ali bin Abi Thalib. Susuk-susuk tubuh tersebut amat bertuah kerana mendapat bimbingan secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Terlalu ramai contoh kepimpinan yang hebat suatu ketika dahulu. Salahuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh dan Khalifah Umar Abdul Aziz adalah contoh-contoh pemimpin yang tidak sezaman dengan Rasulullah namun Berjaya mencorak kepimpinan yang baik. Kerana apa? Mereka mengamalkan apa yang diajarkan Rasulullah dan kepimpinan mereka selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kepimpinan baginda dicontohi sehinggalah Islam tertegak sebagai ustaziatul 'alam (rujukan dunia) suatu ketika dahulu. Tamadun Islam yang lahir suatu ketika dahulu hanya bermula dengan keperibadian dan kepimpinan seorang hamba yang dilahirkan ke atas muka bumi sebagai seorang anak yatim.

Janji Allah itu pasti! Islam akan tertegak kembali suatu hari nanti. Sejarah telah membuktikan. Tambahan itu, sejarah merupakan sunnatullah. Kita sedang berada dalam fasa pembentukan di mana sama seperti fasa di Makkah suatu ketika dahulu. Justeru, bentuklah diri, didklah diri untuk menjadi seorang pemimpin yang memimpin berlandaskan garisan yang telah ditetapkan oleh Allah. Cukuplah kita dipimpin oleh kepimpinan yang pincang sehingga hari ini sahaja. Pilihan di tangan anda! Pilihlah sama ada untuk terus dipimpin atau mencabar diri untuk memimpin ke arah kebenaran.

WaLlahua’lam.


Advertisement

0 comments:

Post a Comment