Home
Sinar Iqra'
Hikmah Cabaran Mahasiswa
Hikmah Cabaran Mahasiswa
by Z
|
posted: 3:52 PM
|
0
comments
Oleh: Muhammad Emran Md Tamsi (3SEM)
Ketua Jabatan JKTK Kelab Iqra’ UTM 2010Assalamu’alaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Bismillahir Rahman nir Rahim. Segala kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan kasih sayangnya dapatlah kita meneruskan kehidupan di muka bumi ini dengan aman dan selesa. Selaku umat Islam kita wajib meyakini bahawa kasih sayang Allah yang sentiasa melindungi kehidupan kita.
Salah satu cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa kita pada hari ini ialah cabaran dalam menghadapi dugaan hidup selain perlu memikul tanggungjawab sebagai bakal pemimpin masa depan yang dapat mengembalikan kembali era kegemilangan Islam yang pernah diagung-agungkan sesuatu ketika dahulu. Namun adakah perjalanan dalam menuju era tersebut dapat berlaku dalam sekelip mata sahaja? Sudah tentu perlunya ada pengorbanan dan timbullah pelbagai dugaan dan musibah yang berlaku di sepanjang perjalanan dalam mencapai matlamat yang suci itu.
Namun apabila timbulnya musibah seperti kesakitan,kegagalan dan kekalahan menimpa seseorang itu, adakah kita tertanya-tanya mengapa Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang itu menjadikan kita sebegitu? Dalam menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui serta memahami bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan didalamnya. Pada pandangan zahir kita merasakan bahawa sesuatu musibah yang berlaku adalah merupakan sesuatu perkara yang pahit tetapi di sisi Allah, segala perkara tersebut mempunyai suatu maksud yang baik.
Mengetahui dan merasai sesuatu musibah akan dapat menjawab banyak persoalan yang selalu bermain-main dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kita. Ia adalah syarat bagi ketenangan jiwa yang sebenar. Namun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat membongkar hikmah yang tersirat di sebalik dugaan yang menimpa diri mereka. Mereka inilah yang melihat musibah tersebut dengan mata hati dan memikirkannya dengan akal yang waras agar dapat tercungkil hikmahnya.
Dalam merungkai hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah merupakan sesuatu ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian adalah satu pendekatan Allah dalam membimbing manusia dan tiada siapa yang mampu menghindarkannya kerana hidup ini umpama suatu ujian. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dia yang menjadikan mati dan hidup adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang terbaik amalannya.” (Surah al-Mulk 67:2)
Musibah ditakdirkan untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Sesungguhnya, Allah hendak menilai setiap hati dan amalan kita. Hal ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu”.
(Riwayat Muslim)
Apabila kita menghadapi sesuatu keadaan di mana terdapat di sekeliling kita banyaknya berlaku perkara-perkara maksiat, hal itu juga merupakan sesuatu ujian khususnya bagi orang yang beriman untuk menilai dan mengukur sejauh mana kita mampu menghindari perkara tersebut dan pada masa yang sama mengubah kembali persekitaran tersebut daripada buruk kepada yang lebih baik. Oleh sebab itu iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat ujian yang diterimanya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Manusia yang paling kuat diuji adalah para Rasul kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya sesuai dengan tahap iman masing-masing.” (Riwayat Ahmad)
Walaupun begitu, kita perlu mengetahui bahawa Allah menguji orang Islam atas sebab-sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungannya dengan Allah. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w ada bersabda bahawa ujian yang menimpa terhadap manusia sama ada untuk memuliakannya atau menghinakannya. Jadi, apakah yang dapat diketahui daripada pernyataan ini? Hal ini menyatakan bahawa bagaimana keadaan seseorang dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat mengambil iktibar daripada musibah tersebut dapat menentukan darjatnya disisi Allah Taala. Jadi, amat banyak perbezaan yang berlaku diantara orang yang dekat dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripadaNya dari segi penerimaan musibah tersebut walaupun musibah yang menimpa mereka adalah sama.
Oleh itu, bersama-samalah kita bermuhasabah kembali dan sentiasa redha atas ketentuanNya sekiranya kita mengalami musibah tersebut. Sebagai seorang mahasiswa sepatutnya perlu kita bertindak dengan lebih rasional atas setiap ketentuan yang telah ditakdirkan oleh Allah kepada kita sama ada perkara itu membawa kepada kebaikan atau pun sebaliknya kerana kita diberikan keistimewaan oleh Allah dalam mampu berfikir dengan lebih jauh berbanding dengan orang-orang lain. Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat bangun kembali setelah diuji dan seterusnya mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan akhirnya dapat bertindak selaras dengan hikmah tersebut.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment