Ikhlas Dalam Beribadah

Oleh: Rawaida Binti Hamzah @ Ahmad (4SPI)
[Timb. Ketua Jabatan JPAQ Kelab Iqra’ 2010]


Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Pertama dan selamanya marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-NYA dapat lagi kita kembali meneruskan kehidupan kita dalam menuntut ilmu di bumi UTM ini, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah menyebarluaskan agama Allah yang maha suci ini.

Firman Allah S.W.T maksudnya : “…Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhan-NYA”. (Surah Al-Kahf 18 : 110)

“Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama kepada-NYA”. (Surah Az-Zumar 39 : 2)

Sepanjang kehidupan kita di dunia ini tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Kita jelas tidak Allah S.W.T itu menjadikan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepada NYA. Oleh itu, dalam kita melakukan sesuatu ibadah itu kita perlu ikhlas. Sedikit perasaan riyak atau ujub dalam melakukan ibadah kita telah mempersekutukan Allah S.W.T.

Terdapat satu kisah yang berkaitan dengan riya’ dalam beribadah:

Pada suatu waktu sahur, seorang abid membaca Al-Quran, surah "Thoha", di biliknya yang berhampiran dengan jalanraya. Selesai membaca, dia berasa amat mengantuk, lalu tertidur. Dalam tidurnya itu dia bermimpi melihat seorang lelaki turun dari langit membawa senaskhah Al-Quran.

Lelaki itu datang menemuinya dan segera membuka kitab suci itu di depannya. Didedahkannya surah "Thoha" dan dibeleknya halaman demi halaman untuk tatapan si abid. Si abid melihat setiap kalimah surah itu dicatatkan sepuluh kebajikan sebagai pahala bacaannya kecuali satu kalimah sahaja yang catatannya dipadamkan.

Lalu katanya, "Demi Allah, sesungguhnya telahku baca seluruh surah ini tanpa meninggalkan satu kalimah pun". "Tetapi kenapakah catatan pahala untuk kalimah ini dipadamkan?" Lelaki itu berkata.

"Benarlah seperti katamu itu. Engkau memang tidak meninggalkan kalimah itu dalam bacaanmu tadi. Malah, untuk kalimah itu telah kami catatkan pahalanya, tetapi tiba-tiba kami terdengar suara yang menyeru dari arah 'Arasy : 'Padamkan catatan itu dan gugurkan pahala untuk kalimah itu'. Maka sebab itulah kami segera memadamkannya".

Si abid menangis dalam mimpinya itu dan berkata, "Kenapakah tindakan itu dilakukan?".

"Puncanya engkau sendiri. Ketika membaca surah itu tadi, seorang hamba Allah melewati jalan di depan rumahmu. Engkau sedar hal itu, lalu engkau meninggikan suara bacaanmu supaya didengar oleh hamba Allah itu. Kalimah yang tiada catatan pahala itulah yang telah engkau baca dengan suara tinggi itu".

Si abid terjaga dari tidurnya. "Astaghfirullaah al-'Azhim! Sungguh licin virus riya' menyusup masuk ke dalam kalbuku dan sungguh besar kecelakaannya. Dalam sekelip mata sahaja ibadahku dimusnahkannya. Benarlah kata alim ulama', serangan penyakit riya' atau ujub, boleh membinasakan amal ibadat seseorang hamba Allah selama tujuh puluh tahun".

Jika kita boleh ambil pengajaran daripada kisah ini bahawa penyakit yang berpunca daripada hati sangat bahaya sehingga boleh memusnahkan amal ibadah kita. Bahaya sungguh apabila sudah ada sekelumit penyakit dalam hati. Sukar untuk kita huraikan tentang hati tetapi sedikit makna apa itu hati. Jelas hati tidak dapat dirasa oleh tangan tetapi ia dapat dirasa oleh pengakuan batin sendiri tentang wujudnya. Hati ini merupakan hati “latifah rabbaniah” iaitu hati seni kejadian Tuhan yang rohani. Hati dengan makna inilah hakikat kejadian manusia yang mempunyai tanggungjawab melakukan ibadah yang dituntut oleh Allah S.W.T.

Oleh itu, bersama-samalah kita mengikhlaskan hati dalam melakukan amal ibadah tanamkan dalam diri sifat merendah diri dan jauhkan penyakit riya’, ujub dan takabbur yang akan mengotorkan hati kita. InsyaALLAH.

Wallahua’lam.



Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments