Ilmu dan kegemilangan Islam



Oleh : 'Asim 'Abdullah bin Ainullotfi (3 SGS)
(KJ JPSM Kelab Iqra' 2010)

Tahniah diucapkan kepada semua graduan konvokesyen ke-45 UTM. Semoga anda menjadi insan yang mampu memberikan manfaat kepada ummah.

Bergelar sahaja graduan bagi seorang mahasiswa bermaksud mereka telah melalui satu lagi tahap pendidikan dalam hidup mereka.

Saya yakin perjalanan melalui setiap tahap pendidikan ini bukanlah mudah. Ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan pengorbanan yang tinggi. Realiti menampakan ramai yang tewas dalam melalui perjalanan ini kiranya mereka tidak bersungguh-sungguh.

Namun demikian, apakah sekadar mendalami ilmu duniawi mencukupi? Apakah ilmu ini sahaja sudah memadai untuk membawa kepada kebahagiaan hakiki?

Sudah tentu tidak.

Ilmu duniawi yang sedang kita belajar pada hari ini hakikatnya adalah sebahagian daripada ilmu yang Allah turunkan pada kita tapi ia telah di sekularkan oleh pejuang-pejuang barat yang mahu melihat kehancuran Islam suatu ketika dahulu. Ia menyebabkan hari ini, kita melihat ilmu ini seolah-olah terpisah dengan konsep rabbani sedang segala sesuatu yang ada di langit mahu pun bumi adalah ciptaan Allah yang maha agung.

Suatu ketika dahulu, di era khilafah Islam umaiyah dan abbasiyah, para ulama’ yang telah habis menuntut ‘ulum Quran, ‘ulum hadis, fiqh, syariat dan sebagainya akan diperintahkan oleh khalifah untuk pergi ke greek dan mengambil buku-buku lama tulisan sarjana yunani dahulu.

Mereka kemudiannya akan menterjemahkan buku-buku tersebut kemudian mereka akan membuat kajian yang mendalam berkait dengan apa yang mereka telah baca. Dengan petunjuk dan hidayah daripada Allah, mereka Berjaya melakukan inovasi dalam ilmu-ilmu tersebut serta Berjaya mengembangkannya lagi ke tahap yang lebih tinggi. Hasil daripada ini, tercetusnya era revolusi sains dan kebudayaan yang melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Haitam, Al-Kindi, Al-farabi, Ibnu Rush dan ramai lagi.

Kerana mereka mengerti tentang Al-Quran dan beramal dengannya menyebabkan mereka mudah untuk mencari dan mengaitkan setiap ilmu tersebut dengan konsep rabbani lantas menjadikan empayar Islam pada ketika itu sebuah empayar yang sangat terkehadapan dalam banyak aspek.

Zaman itu menunjukkan bahawa perubahan pasti berlaku dan Islam pasti akan menaungi dunia dengan rahmah Allah SWT dan semua itu berlaku atas hasil usaha setiap individu ummat Islam berserta kepimpinan mereka yakni khalifah dalam menegakkan kalimah Allah.

Justeru, apakah kita pada hari ini, kita yang hidup dalam satu zaman selepas kejatuhan empayar Islam boleh kembali gemilang seperti suatu ketika dahulu?

Dengan izin Allah, sudah tentu boleh. Kerana Islam adalah agama fitrah. Islam juga bersifat universal dan sesiapa sahaja boleh menerima Islam kirannya mereka seorang manusia yang normal. Allah juga telah menjanjikan bahawa suatu hari Islam akan menaungi semula bumi ini seperti mana Allah memberikan kejayaan tersebut kepada baginda SAW ketika fathul Makkah.

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” [An-Nashr : 1-3]

Kejayaan ini pasti akan Allah berikan, namun ia perlu kepadad persiapan yang rapi yang rapid an usaha yang bersungguh-sungguh. Kita perlu buang semua pemikiran negative serta doktirin barat yang menghancurkan Islam. Kemudian kita juga perlu menanamkan benih iman yang mendalam dalam diri kita serta berusaha untuk memahami Islam secara menyeluruh agar kita boleh beramal dengan ibadah yang sohih.

Kiranya sukar untuk mencari ilmu-ilmu yang boleh memperkukuhkan iman di hati, rujuklah mereka yang arif seperti para ustaz dan ulama’. Dalami Islam dengan sedalam-dalamnya agar kita lebih mengerti tentang kehidupan kita dan bagaimana kita boleh kaitkan ilmu-ilmu dunia yang sedang kita pelajari dengan konsep Rabbani.

Akhirnya, kita berharap dengan usaha yang sedikit itu mampu menjadikan seorang muslim yang sejati dan hamba yang diredhai Allah. Semoga segala ilmu yang kita tuntut digedung ilmu UTM mampu member manfaat kepada ummah dan sekali gus menaikkan semula martabat Islam di mata dunia.

Wallahu’alam~

Oleh
‘Asim ‘Abdullah bin Ainullotfi
3SGS

Advertisement

0 comments:

Post a Comment