Baju bersih

Dipetik daripada sini.



Baju merupakan satu benda yang sinonim bagi setiap daripada kita. Ia bertujuan untuk melindungi jasad daripada bermacam benda bergantung pada peranan ia dicipta.

Contoh, baju hujan bertujuan untuk melindungi kita daripada terkena air hujan, baju sejuk untuk memanaskan badan dan sebagainya.

Saya nak bawak satu analogi mudah berkait baju.

Secara wajarnya, setiap orang akan pakai baju yang paling bersih dan kemas sebelum memulakan harinya. Bajunya itu pastikan digosok kemudian ditambah dengan pewangi bagi memastikan si empunya badan kelihatan segak dan terampil.



Kemudian, setelah seharian berlalu dengan segala aktiviti yang dilakukan tuan empunya badan, baju ini akhirnya sedikit demi sedikit menjadi kotor. Di akhir hari, tuan empunya badan pasti akan basuh baju ini supaya ia boleh terus digunakan di masa akan datang.

Ketika basuh (pakai washing machine..orang senang.. ;p) pula, kita lihat baju ini akan direndam, disental, dipusing-pusingkan, kemudian rendam balik, pusing lagi beberapa pusingan hingga lah akhirnya baju ini siap. Bila dah siap, ia akan dijemur dan bila dah kering, ia boleh dipakai semula.

Panjang proses dia.

Sekarang saya nak kaitkan baju ini dengan hati kita. Kita tahu hati kita ini mudah untuk dikotori dengan perkara-perkara maksiat. Walau sekecil mana sekalipun maksiat itu, kiranya kita lakukan, akan muncul tompok hitam yang bertandang ke hati kita.



Lama-kelamaan, kalau lah hati ini tidak dibersihkan, ia akan menjadikan diri kita untuk cenderung melakukan lebih banyak kemaksiatan dan sukar untuk menerima taufiq dan hidayah Allah.

"Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu.." [Al-Baqarah, 2 : 74]

Hati kita juga umpama baju. Perlu disucikan agar nur Allah boleh hadir dan menerangi ia dengan penuh keimanan. Penyucian ia bukanlah sekadar penyucian untuk sekali lalu sahaja tapi ia perlu kepada proses berkali-kali dan berterusan agar kesucian ia terpelihara.

Bagaimana nak sucikan hati yang kotor?

Allah berfirman:
"...yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah." [Ali-'Imran, 3 : 164]

Dengan membacakan ayat-ayat Allah, dengan zikrullah, dengan solat, dengan puasa, dengan taubat yang sebenar-benar taubat dan sebagainya pasti menyucikan hati kita kiranya kita ikhlas dan benar-benar mengharapkan redha Allah SWT.

Juga perlu diingat, dalam proses menyucikan hati, kita perlu juga pasakkan tekad untuk melakukan amal-amal ini selalu kerana hati ini terlalu sensitif dan sangat mudah untuk ia dikotori.

Pastikan juga kita berusaha memelihara kesucian hati daripada perkara-perkara yang hampir kepada mengotorkan hati. Wajarkah andai baju yang bersih kita basuh, kemudian kita pergi ke tempat-tempat kotor tanpa alasan? Maka begitu juga dengan hati. Kalau lah kita menghampiri tempat-tempat atau perkara maksiat maka ia akan kembali kotor. Maka berusahalah untuk menjauhi perkara-perkara maksiat.

Berusahalah untuk memastikan hati kita sentiasa suci supaya rahmat dan barakah Allah mudah saja untuk kita merasai.

"..sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa itu," [As-Syams, 91 : 9]

Wallahu'alam

'Asim 'Abdullah bin Ainullotfi
Presiden KI, 2011

Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments