Alhamdulillah, tahun 2010 baru sahaja melabuhkan tirainya. Manakala 2011 kini menjelma di pentas dunia. Kebiasaan bagi semua, setiap kali tahun baru, tak kira tahun hijrah mahupun masihi, azam dan harapan akan diperbaharui. Mungkin sebelum ini, keadaan diri, akhlak, shaksiah, sikap agak kurang memuaskan, namun dengan harapan dan keazaman yang baru, kita mengharapkan perubahan yang lebih baik di masa-masa yang mendatang. Insya Allah.
Tambahan pula, buat warga UTM, minggu lepas, keputusan final exam baru sahaja keluar. Sudah pasti ramai yang sudah melihat atau kepada yang belum lihat, sudah boleh agak keputusan masing-masing. Tahniah kepada semua yang berusaha dan mencapai keputusan yang cemerlang. Buat mereka yang kurang, tambahkan usaha dan kuatkan semangat, insya Allah semester yang mendatang pasti boleh buat yang terbaik. Bermujahadahlah.
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya." [Al-Baqarah, 2 : 172]
Cabaran silam
2010 betul-betul membawa seribu cabaran buat semua. Yang pasti, dalam cabaran yang kita lalui, pasti ada masa-masa iman kita lemah. Pasti ada masa-masa kita seolah-olah ingin melarikan diri daripada dunia dan melepaskan segala tanggungjawab kita. Ya! Mehnah itu Allah berikan bukan untuk menyenangkan kita, tapi untuk uji sejauh mana kita mengingati Allah.
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: KAMI BERIMAN, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [Al-'Ankabut, 29 : 2]
2011 yang mendatang
Kini 2011 menjelma. Cabaran yang mendatang pasti banyak. Untuk hadapi cabaran ini, kita perlu lihat kembali bagaimana Ar-Rasul SAW menghadapi setiap cabaran. Bukankah baginda SAW mengukuhkan barisan ummah dengan Al-Quran dan kekuatan ruh? Oleh itu, kita juga perlu lakukan sedemikian. Tanamkan keazaman untuk mendekatkan diri dengan Allah, kerapkan membaca Al-Quran dan usahakan memahami maksudnya, usahakan solat-solat di malam hari, senentiasala berzikir di setiap waktu untuk mendapat bekalan ruh, lakukanlah kerja-kerja dakwah dan mengajak manusia kembali beriman dengan Allah SWT. Bawa mereka keluar daripada kegelapan jahiliyah kepada nur Islam. Usahakanlah dengan sedaya-upaya.
"..Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." [Hud, 11 : 88]
Semakin berlalunya masa, semakin bertambah tanggungjawab kita. Tugasan kita juga semakin banyak dan berat. Nak tak nak, kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu mempersiapkan jiwa dan raga kita untuk memikul tugasan besar daripada Allah. Langkah kita perlu rapi dan tersusun agar musuh-musuh Allah tidak bisa merobek barisan ummah ini dengan mudah. Gerak kerja kita perlu lebih kemas dan bersistematik supaya serangan jahiliyah yang tersusun, boleh kita atasi.
Ayuh, renung kembali sebuah firman Allah yang boleh menyunting semangat jihad dalam diri kita,
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga pada hal kamu belum didatangi ujian seperti yang dialami oleh orang dahulu. Mereka ditimpa kepapaan, penyakit dan ketakutan sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya : 'Bilakah akan datangnya pertolongan Allah ?' . Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah sangat dekat." [Al-Baqarah, 2 : 214]
Wallahu'alam.~
0 comments:
Post a Comment