Mata Melihat Alam, Hati Melihat Tuhan..





Sesungguhnya pada kejadian semua langit dan bumi dan perubahan malam dan siang dan kapal yang berlayar di lautan membawa (barang) yang bermanfaat bagi manusia, dan apa yang diturunkan Allah dari langit berupa  air, maka dihidupkanNya dengan (air) itu bumi, sesudah matinya , seraya disebarkanNya padanya dari tiap-tiap jenis binatang, dan peredaran angin, dan awan yang diperintah di antara langit dan bumi; adalah semua­nya itu tanda-tanda bagi (kebesaran Allah)bagi kaum yang berakal.

(Al-Baqarah:164)

Sahabat, mari kita pergi ke suatu tempat di sebuah pulau. Yang jauh dari hiruk-pikuk di kota. Yang terasing dari pandangan manusia yang menyesakkan jiwa. Dan, anda memilih untuk duduk sebentar di situ sambil menghadap ke pulau yang padanya terlihat kebiruan laut, burung-burung yang terbang bebas di ruang angkasa, nun di sana..ada matahari yang mahu melabuhkan sinarnya lantas terlihat garis-garis senja yang cukup indah. SubhanAllah.. pasti terbit di hati anda betapa teratur dan indahnya pemandangan yang sedang anda saksikan. Maka, bawa hati anda untuk turut berfikir, siapa ya yang menciptakan semua ini? Dan untuk siapa semua keindahan-keindahan ini?

Belajar Dari Alam..




"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Ali 'Imran:191)

Sedar atau tidak, Allah telah menciptakan alam ini sebagai hadiah buat hamba-hambaNya. Supaya kita dapat melihat dan merenungi kebesaranNya yang ada di mana-mana bahkan tiada tempat di dalam dunia ini yang mampu kita berpijak tanpa merasai sentuhan kasihNya kepada kita. Matahari, bulan, tumbuh-tumbuhan, langit, tanah dan segala macam kehidupan di bumi ini tidak pernah sesekali mengingkari arahan Allah untuk terus berbakti kepada manusia supaya manusia boleh menjalani kehidupan dengan sempurna. 

Tapi sayangnya, tidak ramai yang mahu berfikir. Kita kadangkala lebih mengagumi kemewahan dan perhiasan dunia yang sebenarnya hanya memperdayakan kita untuk melupakan hakikat sebenar penciptaan kita sebagai seorang abid (hamba) dan khalifah di muka bumi ini. Lupakah kita pada kisah Qarun yang mati dalam keadaan terhina akibat daripada harta yang membuatkannya lupa kepada Sang Pencipta. Nyata harta itu tidak mampu menambah keimanan Qarun melainkan membawanya ke tempat yang lebih hina.


Mari kita mengambil pengajaran dari alam ini kerana Allah tidak menciptakan semua ini dengan sia-sia melainkan mahu kita mengambil hikmah darinya. Sebagaimana alam yang tidak membantah perintahNya, maka kita juga seharusnya begitu. Bayangkan andai matahari tidak mahu memancarkan cahayanya pada hari ini? Pasti seluruh kehidupan ini akan rosak binasa. Begitulah juga manusia, andai kita menentang peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah, sedarilah bahawa saat kebinasaan itu juga sebenarnya terlalu hampir buat kita. Lihat sahaja dunia yang serba tidak kena pada hari ini, ia sebenarnya pantulan dari perbuatan kita yang mengingkari arahanNya!

Ayuhlah memperingatkan diri dengan amaranNya..moga-moga kita menjadi orang yang celik bukan hanya pada mata, tetapi juga pada hati..

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari Jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.

(
Surah Al-A'raf:179) 






Artikel Oleh: Nur Afni Natasya Bt Ismail

Advertisement

0 comments:

Post a Comment