Assalamu’alaykum w.b.t.
Seindah-indah cinta,
Adalah cinta kepada,
Pencipta alam semesta,
Dialah Allah.
Sebahagian masyarakat sering beranggapan bahawa cinta itu hanya terletak di bumi. Apabila manusia meninggalkan dunia, lenyaplah cinta itu. Tetapi, masih ada cinta lain yang harus kita perhatikan dan dambakan sentiasa. Cinta yang tidak hanya terbatas di bumi tetapi menerobos ke alam syurgawi. Ya, suatu hakikat yang sering dilupakan iaitu cinta kepada Allah dan cinta kepada Islam.
Bagaimana mungkin kita tidak mencintai Allah, sedangkan setiap nikmat yang kita rasakan adalah pemberian dari-Nya. Begitu juga dengan musibah dan ujian yang menimpa kita, semuanya adalah dengan ketentuan Allah. Cinta kepada Allah sering dikaitkan dengan syariat-Nya, tunduk dan patuh pada perintah-Nya, melaksanakan segala suruhan-Nya dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Hanya Dia lah Yang Maha Baik. Ketentuan-Nya sangat adil, syariat-Nya membawa rahmat, ciptaan-Nya sangat indah, karya-Nya sangat sempurna dan kurniaan-Nya sangat luas. Lantaran itu, mencintai Allah wajib hukumnya. Sebagai hamba Allah, mendekatkan diri kepada-Nya adalah suatu kemestian yang perlu dilakukan.
Hayati firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
Bahkan memegang teguh kepada ajaran Islam juga merupakan suatu kewajipan, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah :
“ Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai ” ( Ali-Imran, 103)
Justeru, Islam maju ketika umatnya berpadu dengan ajaran Islam. Namun, apabila umat Islam menjauhi agamanya, saat itulah kehebatan Islam mulai pudar. Semakin hari semakin hilang wibawanya.
Jadi, keupayaan untuk membangunkan Islam kembali merupakan syarat mutlak untuk menjadikan Islam sebagai kekuatan handal di dunia ini. Dan ini tidak mungkin dilakukan seorang diri, tetapi mestilah secara berjemaah.
“ Wahai orang-orang beriman, bersiap sedialah kamu dan maralah (menuju ke medan pertempuran) secara berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama” (An-Nisa’ , 71)
Sekiranya anak muda sekarang ramai yang seperti Saidina Ali, rasanya Islam pasti beterusan sinarnya. Kerana roh Islam betul-betul melekap dan menyatu di dalam fikiran dan jiwanya, lalu di wujudkan dan diterjemahkan di dalam bentuk lisan dan amalan seharian. Akhir kata, berbahagialah mereka yang menghidupkan hatinya dengan cinta kepada Allah dan Islam.
Wallahu’alam.
Farah Alina Binti Fauzi,
Timbalan Presiden 2,
Kelab Iqra’ UTM,2012.
IQRAteam - administrator
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami. Temui kami juga di
Facebook dan juga
Tumblr.
0 comments:
Post a Comment