Salam Aidilfitri, Salam Kemenangan



Oleh: Mohd Hafiz Mohd Noor (4-SET)
(Bendahari Kelab Iqra’ 2010)


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Sedar atau tidak sedar – sudah semestinya semua sedar, tirai kemulian Ramadhan semakin melabuhkan tirainya. Dan sebagaimana kitaran hidup, Syawal pula semakin menjelmakan bayang, menampakkan dirinya. Setelah melalui bulan yang banyak melatih diri, kini telah tiba detik kemenangan.

Jika agama lain di dunia ini mempunyai hari kebesaran masing-masing, umat Islam juga begitu. Dalam Islam hari kebesaran ini dikenali dengan Hari Raya Aidilfitri. Sudah menjadi kebiasaan atau tradisi masyarakat umat Islam di negara ini khususnya, setiap kali menjelangnya hari kebesaran ini masing-masing sibuk menyediakan segala kelengkapan. Jika boleh semuanya perlu baru dari baju sehingga ke perabot rumah. Bagi yang bekerja atau menuntut ilmu di rantauan, mereka berbondong-bondong pulang beraya bersama keluarga tercinta. Di kampung pula, suasana dimeriahkan lagi dengan bunyi dentuman mercun. Begitulah gambaran suasana bila tiba hari lebaran ini.

Namun, sejauh mana erti sebenar Aidilfitri ini difahami oleh umat Islam terutama kita generasi muda atau mahasiswa yang dikatakan tulang belakang kepada kekuatan ummah kelak. Adakah sekadar menyambut tanpa penghayatan sebenar? Atau sekadar satu adat yang patut kita raikan setiap tahun?

Dalam Sinar Iqra kali ini, kita akan menyelusuri persoalan di atas, Hari Raya Aidilfitri ini bukan sekadar satu adat untuk meraikannya tetapi suatu ibadat. Dalam erti kata lain, jika kita menyambut mengikut cara dan tuntutan syarak, ganjarannya cukup besar. Amat berbeza dengan sambutan hari kebesaran kaum lain di negara ini. Begitulah ketinggian Islam, satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah dan agama paling sempurna. Bersesuaian dengan firmanNya yang menyebut,
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu”
(Al Maidah:5)
Selain bersolat jemaah sunat Aidilfitri, Hari raya yang sepatutnya dirai adalah dengan cara membesarkan Allah. Wajar kita sebagai Muslim menunjukkan rasa berterima kasih dengan memperbanyakkan bertakbir memujinya, sebagaimana firmanNya:
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (dengan bertakbir) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur” (Al-Baqarah:185)
Perlu diingatkan, takbir yang disyariatkan ini bukan hanya sekadar untuk memeriahkan suasana hari raya tetapi lebih dari itu, iaitu merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah terhadap anugerah yang dikurniakanNya. Bertakbirlah sebanyak mana yang mampu dari terlihatnya anak bulan sehingga selesainya kemuncak hari raya iaitu setelah imam tamat berkhutbah.

Sudah tentu apabila berjumpa dengan rakan taulan atau sanak saudara, kita akan mengucapkan satu sama lain dengan ucapan Selamat Hari Raya. Namun, apa yang kita dapat teladani dari sunnah Rasulullah, para sahabat mengucapkan dengan ucapan taqabbalullah minna waminka di antara satu sama lain, yang mana bermaksud, semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu. Semoga ucapan ini menjadi doa supaya amalan kita diterima oleh-Nya.

Selain itu, perkara lain yang digalakkan ialah makan terlebih dahulu sebelum melakukan solat sunat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan untuk menutup andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Rasulullah sendiri tidak akan pergi solat Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma. Pakailah pakaian yang indah dan cantik serta jauhilah memakai pakaian yang menjolok mata.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Jabir bin ‘Abdullah r.a pernah berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya” (Hadis Riwayat Bukhari)
Ianya bertujuan untuk kita lebih berpeluang kenal dan menziarahi jiran tetangga jika kita melalui dua jalan yang berbeza, disamping untuk menambah kenalan baru.

Biarpun sudah berpuasa di bulan Ramadhan, kita juga disunnahkan untuk berpuasa sunat di bulan Syawal. Di dalam bulan Syawal ini, kita digalakkan berpuasa sunat enam hari. Ganjaran menyempurnakan puasa sunat ini amat besar nilaiannya di sisi Allah. Bertepatan dengan sabda Rasulullah:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang pasti, bergembiralah di hari kemenangan. Setelah sebulan kita menahan diri dari lapar, dahaga dan nafsu yang senantiasa membelenggui kita, tibalah masanya kita menyambut dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.

Tetapi ada pula yang beranggapan selepas berlalunya Ramadhan, tahap keimanan dan ibadah kita kepada Allah mulai menurun dan tidak serancak di dalam bulan Ramadhan. Lebih malang bagi mereka yang amalan mereka di bulan Ramadhan tidak begitu rancak seperti yang sepatutnya. Sesungguhnya, bulan Ramadhan boleh diibaratkan dengan sebuah madrasah yang banyak melatih dan mengajar kita beribadah supaya kita praktikkan dalam bulan-bulan yang mendatang.

Berpuasa mendidik kita supaya bersabar dan bertaqwa. Sepatutnya atas dasar setahun sekali ini, menyebabkan kita perlu rasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan. Moga kita mendapat ketaqwaan seperti yang dijanjikan atas amal ibadat kita yang bersungguh-sungguh. Mantapkan diri dengan kefahaman dari segi akidah, dengan cara ini sahaja kita dapat membina keperibadiaan Muslim yang sempurna dan seterusnya mengajak orang lain bersama-sama ke arah kebaikan.

Akhir kalam, kami seluruh warga gerak kerja Sinar Iqra’ dan barisan kepimpinan Majlis Tertinggi Kelab Iqra’ UTM sesi 2010, mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, minal aidin wal faizin kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi, para pensyarah dan seluruh staf Universiti Teknologi Malaysia.

Taqabbalullah minna waminkum!

Advertisement

Comments
1 Comments

1 comments

  1. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli KI..raya ni datang raya umah ye ikhwah2 sekalian..hehe

    ReplyDelete